PERTAHANKAN SURVIVAL MELAYU, ISLAM – NAJIB

Foto oleh Muhd Zul Hafiz Bahrin@watanonline

 

UMNO perlu terus kekal sebagai parti tonggak pemerintahan bagi memastikan syiar Islam terus mekar subur selain mempertahankan institusi raja dan bangsa Melayu, Bumiputera.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berkata semua itu akan menjadi kenangan sekiranya kekuasan yang dimiliki kini menjadi hak orang lain.

“Sanggupkah kita membiarkan agama Islam dan syiarnya, diperlekeh dan diperhinakan di tanah ini?…tergamakkah kita, melihat kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu tidak lagi dimulia, bahkan akan didurhakai, manakala, institusi-institusi kebanggaan orang Melayu Bumiputera seperti MARA, FELDA, serta Tabung Haji (TH) serta-merta pula nanti akan disisihkan.

“Sementelahan itu, seandainya pembangkang mengambil alih, para penjawat awam, yang menjadi tulang belakang Kerajaan selama ini, semestinya, tanpa lengah-lengah lagi, akan dikuncupkan jumlahnya…sudah tentu sekali, kesumat pihak lawan, sejak sekian lama, terhadap keistimewaan orang-orang Melayu Bumiputera, sebagai leluhur jati dipertiwi ini, dari bangsa yang mulia lagi merdeka, akan dipijak-pijak maruah dan tergadailah keindukkannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar PAU2017, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Khamis.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Foto oleh Muhd Zul Hafiz Bahrin@watanonline

Sementara itu, Najib berkata PRU-14 mempunyai misi besar yang akan menentukan survival yang sangat penting bagi destini masa depan umat serta negara.

Najib berkata, UMNO tidak boleh lagi mengulangi kesilapan yang dilakukan pada PRU-13, khususnya dalam mendepani cabaran politik persepsi.

“UMNO tidak lemah. Malah, kita masih menang dan berjaya menambah jumlah 79 kepada 88 kerusi Parlimen. Namun, akibat permainan jelek pembangkang, kita telah menjadi mangsa

“Inilah yang dinamakan perang persepsi di mana, kita hampir tewas akibat permainannya. Walaupun di sudut realiti dan faktanya, kita berada di landasan yang betul dan bersungguh-sungguh dalam berjuang, berbanding pembangkang yang penuh dengan sandiwara dan hanya pandai bermain wayang.

“Satu perkara lagi yang perlu diperjelaskan di sudut ini, UMNO bukanlah parti bersifat rasis. Jika tidak, bagaimana kita diterima, mengepalai parti-parti komponen daripada pelbagai bangsa sejak puluhan tahun dengan penuh berhemah. Tegasnya, saya ulang, UMNO bukan anti kaum Cina.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.