PESERTA MARATON MENINGGAL DUNIA

 

Seorang peserta Klang City International Marathon 2017, Evelyn Ang Gek Suan, 44, yang parah dilanggar sebuah kereta di Batu 2, Jalan Kapar, di sini, pada 10 Disember tahun lepas meninggal dunia, pada jam 1.13 pagi tadi.

Mangsa yang koma sejak hampir tiga bulan lalu dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kematian mangsa kira-kira jam 7 pagi.

“Punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan teruk pada kepala akibat kemalangan tersebut,” katanya kepada Watan Online, pada Khamis.

Mazelan berkata, mayat mangsa telah dibawa pulang ke rumahnya di Taman Bahagia, Cheras, Kuala Lumpur, pada jam 10.30 pagi untuk urusan pengkebumian.

Media sebelum ini melaporkan seorang peserta larian Klang City International Marathon parah manakala dua lagi cedera ringan selepas dilanggar sebuah kereta Proton Iswara dari arah belakang di Batu 2, Jalan Kapar, Klang.

Berikutan itu, seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan memandu laju secara melulu dan berbahaya dalam insiden rempuhan peserta Klang City International Marathon.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Teoh Thiam Lim, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu Proton Iswara secara melulu atau dengan kelajuan atau cara berbahaya kepada orang awam di Batu 2, Jalan Kapar di sini, kira-kira jam 4.30 pagi, pada 10 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.