PH GAGAL MUKTAMADKAN KERUSI DI JOHOR

 

Pakatan Harapan (PH) Johor masih belum berjaya menamatkan isu pembahagian kerusi di negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Isu itu sedikit sebanyak menampakkan kegagalan pembangkang yang kononnya menjadikan Johor sebagai salah satu sasaran utama.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perbincangan bersama PH Johor hanya secara prinsip.

“Namun, tiada keputusan dibuat kerana urusan berkenaan sedang dibuat di peringkat pusat,” katanya selepas menghadiri mesyuarat khas antara pimpinan PH negeri itu, di Johor Bahru, pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim.

Pada tahun lalu, Salahuddin dilaporkan berkata selepas pembangkang berjaya mentadbir Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, Johor adalah destinasi politik menarik bagi mereka.

Pada masa yang sama, Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata PH Johor juga bersetuju menubuhkan Majlis Pengerusi-Pengerusi PH negeri itu yang dianggotai pengerusi keempat-empat parti bagi membincangkan strategi dan program sebagai persiapan menghadapi pilihanraya.

Pada ketika ini, Pakatan Harapan dianggotai oleh DAP, PKR,PAN dan PPBM.

Sementara itu ditanya mengenai kecenderungan PAS untuk bergerak secara solo dalam pilihan raya umum, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata  PH perlu mengatur strategi khusus berikutan kemungkinan pertandingan lebih daripada dua atau tiga penjuru akan berlaku.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.