PH TAK TERIMA AHLI BN – MAHATHIR

 

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan yang Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima ahli parti Barisan Nasional (BN) yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk menyertai pakatan itu.

Pengerusi PH itu berkata ramai ahli politik daripada kerajaan sebelum ini berminat untuk menyertai PH yang kini membentuk kerajaan Persekutuan

“Kita dapati rakyat tidak boleh terima mereka. Sebab itu, mereka tidak harus diterima untuk menjadi ahli.

“Mereka boleh mengisytihar keluar parti umpama UMNO dan menyatakan sokongan kepada kerajaan tetapi (mereka) tidak boleh menjadi ahli dalam parti kerajaan (PH),” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, pada Rabu.

Mahathir berkata rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baharu.

“Rakyat tidak pandang baik terhadap ahli politik daripada kerajaan sebelum ini untuk menyertai PH kerana tidak mahu kerajaan baharu ini nampak seperti kerajaan lama. Oleh itu, penyertaan mereka tidak boleh diterima,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan PPBM Pusat Datuk Kamaruddin Md Noor berkata parti itu menerima permohonan kemasukan baharu setiap hari termasuk pemimpin dan anggota UMNO  dari seluruh daerah di Kelantan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.