PH UMPAMA KAPAL BAKAL KARAM

 

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pakatan Harapan (PH) umpama kapal yang bakal karam kerana dikendali oleh tiga nakhoda.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat boleh menilai bagaimana sebuah pakatan mampu bergerak apabila setiap pemimpinnya mempunyai haluan berbeza tanpa adanya pemimpin utama.

“Lazim hukum akal, kapal yang ada tiga nakhoda akan terumbang ambing kerana ada yang mahu ke kanan dan ke kiri, akhirnya kapal akan tenggelam. Pakatan tiga nakhoda akan tenggelam di lautan politik.

“Kita bukan mahu mempertikaikan soal dalaman mereka, tetapi mahu rakyat analisis jika hala tuju berbeza ke mana haluan mereka. Lihat rekod kejayaan Barisan Nasional (BN) yang mampu membela rakyat hasil konsep perkongsian kuasa,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ledang di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Johor, pada Sabtu.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Hamim Samuri yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta 800 anggota perwakilan bahagian.

Pada Jumaat, Pakatan Harapan mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Pakatan Harapan itu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai Ketua Umum, manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai Presiden.

Tambah Zahid, Tsunami Melayu yang dicanang pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 hanyalah satu perang psikologi semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

“Mereka mengajak orang Melayu wujudkan satu gelombang sokongan kepada mereka walapun tahu sokongan kepada mereka adalah pada tahap minimum.

“Pilihan raya bukan berasaskan kajian tetapi kerja sebenar parti, justeru kita harus memenangi minda dan hati pengundi,” kata Naib Presiden UMNO itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.