PM BERJAYA KETEPIKAN SAMAN TONY PUA

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia, pada Jumaat berjaya membatalkan saman difailkan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee berhubung dakwaan salah laku membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datin Faizah Jamaludin yang membenarkan permohonan Najib dan kerajaan bagi membatalkan saman itu memutuskan bahawa Pua selaku plaintif tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan terhadap kedua-dua defendan.

Faizah dalam penghakimannya berkata Pua selaku plaintif gagal menyatakan butiran lanjut mengenai salah laku yang didakwa dilakukan oleh perdana menteri dan ia hanya spekulasi semata-mata.

Beliau berkata tuntutan saman Pua juga menyalah guna proses mahkamah dan tiada kausa tindakan munasabah untuk memfailkan tindakan berkenaan.

“Mahkamah juga terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa perdana menteri dan menteri kewangan tidak boleh disaman kerana mereka bukan pegawai awam,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Pua membayar kos berjumlah RM10,000 kepada Najib dan kerajaan.

Najib diwakili peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke bertindak bagi pihak kerajaan.

Pua, yang hadir pada prosiding hari ini diwakili peguam Gobind Singh Deo.

Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Pua pada 14 Feb lalu atas alasan beliau bukan penjawat awam seperti didakwa Pua dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya selain mendakwa tuntutan saman itu juga menyalahgunakan proses mahkamah.

Kerajaan pula memohon untuk membatalkan saman itu pada 2 Mac lalu atas alasan Pua tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan tuntutan tersebut dan saman itu juga suatu yang remeh, menyusahkan serta tidak mendedahkan kuasa tindakan yang munasabah.

Pada 16 Jan lepas, Pua selaku plaintif menyaman kerajaan dan Najib selaku defendan pertama dan kedua atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, Gobind Singh ketika ditemui pemberita berkata beliau akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guamnya sama ada ingin memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini.

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.