PM DOAKAN MISI EKSPEDISI KUTUB UTARA

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendoakan kejayaan tiga penjelajah Malaysia yang kini dalam ekspedisi ke Kutub Utara.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa tiga penjelajah kita dijangka mampu tiba ke titik 90 darjah Kutub Utara lima hari lebih awal daripada jadual jika cuaca mengizinkan.

“Insya-Allah, sama-sama kita doakan mereka selamat dan berjaya menyempurnakan misi membawa nama #Negaraku Malaysia!” katanya dalam catatan di laman Facebook hari ini.

Tiga penjelajah itu ialah ikon sukan lasak negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 35; atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah, 38; dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37.

Titik 90 Darjah Kutub Utara merupakan titik paling utara di bumi. Ia terletak pada latitud 90 darjah utara dan semua garisan longitud bertemu pada titik itu dan pada kedudukan itu, setiap arah seseorang itu menghadap adalah selatan.

Muhammad Muqharabbin, Shahrom dan Muhammad Irwan merupakan anggota Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) yang akan melakukan “Last Degree Ski” sejauh 111 kilometer, dan bakal mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia terawal menakluk Kutub Utara.

Mereka berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lepas sebelum berpangkalan di Longyearbyen, Svalbard, Norway selama seminggu.

Mereka kemudiannya memulakan misi penjelajahan dari Stesen Barneo di Kutub Utara ke Titik 90 Darjah itu..

Sepanjang ekspedisi itu, mereka akan berski sambil menarik kereta luncur salji yang mengandungi barang-barang keperluan seperti peralatan khemah, bekalan makanan dan pelbagai peralatan yang dianggarkan seberat 50 kilogram.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu merupakan ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Puncak 7 Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi Jelajah KE7B Felda Greenland dengan ski 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016.

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.