PM LANCAR KEMBARA UMNO BANTU RAKYAT

 

Sebanyak 35 kenderaan pacuan empat roda akan menjelajah ke seluruh pelusuk negara termasuk Sabah bagi mencari serta membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Konvoi terbabit akan membawa bersama bantuan dan sumbangan khusus untuk golongan memerlukan.

Program anjuran Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) akan memulakan siri penjelajahannya ke seluruh negara bermula esok dalam misinya untuk mendekati rakyat.

Antara bantuan yang akan disampaikan termasuk barangan keperluan harian seperti makanan, selain 300 hamper khas di setiap bahagian UMNO yang dikunjungi.

Turut disampaikan nanti, dana khas bagi membuka Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada 100 pelajar Tahun Satu selain 100 pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam pula akan menerima sumbangan bagi membuka akaun Tabung Haji.

Pelancaran konvoi dengan tema ‘UMNO Bantu Rakyat’ itu disempurnakan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kosas, Ampang di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi BIKUM yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Samsul Annuar Nasarah, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Samsul ketika berucap berkata, konvoi ini memberi makna cukup besar kepada UMNO seiring usia parti yang sudah menjangkau 71 tahun.

Program ini kata beliau, adalah kali kedua dianjurkan BIKUM membabitkan 20 lokasi terpilih bagi fasa pertama dan 50 lagi lokasi untuk fasa kedua.

“Ini adalah program untuk kita jumpa dan dekati rakyat. Ia membabitkan komitmen semua termasuk sayap wanita dan pemuda dengan mesej kita untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus menjadi pilihan rakyat.

“Kita nak buktikan dalam program ini juga bahawa UMNO adalah parti yang membela rakyat dan kami buat bersungguh-sungguh untuk turun ke bawah mendengar denyut nadi rakyat,” katanya.

Seramai 150 sukarelawan dan peserta konvoi akan terbabit bagi memastikan sasaran untuk mendekati 300,000 rakyat di seluruh pelosok negara dicapai sepanjang 12 hari pengembaraan ini.

“Pasukan ini juga akan masuk ke kawasan pedalaman seperti di Kinabatangan di Sabah menaiki bot untuk memastikan sumbangan ini sampai kepada mereka,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.