PM, TPM SIFATKAN ABDUL MANAN SAHABAT YANG BAIK

 

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kehilangan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan cukup dirasainya kerana wakil rakyat itu bukan saja seorang pemimpin, malah sahabat yang baik.

Perdana Menteri berkata, beliau rapat dengan Allahyarham sewaktu arwah berkhidmat sebagai setiausaha sulit ketika beliau memegang jawata Menteri Belia dan Sukan.

“Saya amat kenali begitu rapat dan lama. Saya tahu, bila dia jadi wakil rakyat, beliau telah menjalankan tugas dengan dedikasi dan begitu baik.

“Saya terasa sangat dengan ketiadaan beliau bukan sahaja sebagai ahli parlimen tetapi sahabat yang begitu rapat dengan saya dan keluarga,” katanya kepada media selepas menziarahi jenazah arwah di Taman Melawati malam Selasa.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid menyifatkan Allahyarham sebagai rakan sepejabat yang baik sewaktu sama-sama berkhidmat dengan Najib di Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya waktu itu setiausaha politik Datuk Seri Najib dan hubungan kami sangat rapat sebagai rakan sepejabat dan beliau sebagai Ahli Parlimen, beliau bekerja rapat dengan saya kerana diberi tanggungjawab tertentu yang melapor kepada saya sebagai Ketua Whip BN,” katanya.

 

Oleh Haspaizi Mohd Zain

Leave a Reply

Your email address will not be published.