POCA LULUS SELEPAS BAHAS HINGGA AWAL PAGI

 

Selepas hampir empat jam sesi perbahasan, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Jenayah  1959 (POCA) 2017 diluluskan di Dewan Rakyat bagi mengukuhkan kuasa Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) dalam menangani ancaman jenayah di negara ini.

Sebelum itu pertikaian berkenaan pindaan itu ditimbulkan oleh ahli parlimen DAP dan PKR yang menyuarakan ketidakpuashatian terhadap hampir 16 Fasal dalam RUU yang dibentang Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad.

Ketika waktu menunjukkan jam 3 pagi, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan menjerit serta menganggu tumpuan Jazlan yang sedang menggulung perbahasan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Setiu, Che Mohamad Zulkifly Jusoh kemudiannya bangun mencelah bagi meredakan keadaan yang sedikit tegang sambil meminta wakil rakyat pembangkang menumpu kepada pindaan bukan isu-isu lain .

Terdahulu, Jazlan ketika membentangkan pindaan berkata perkara itu diminta sendiri oleh LPJ bagi memudahkan pengurusan mereka susulan berlaku kejadian perlanggaran syarat pemakaian peranti pengawasan elektronik (EMD) oleh pesalah.

“Berdasarkan rekod seramai 1,615 suspek dikesan melanggar syarat pemakaian EMD, di mana kebanyakannya dikesan merosakkan peranti, tidak mengecas bateri, menanggalkan serta merosakkan dengan sengaja peranti berkenaan,”

“Susulan itu, perbincangan dilakukan antara Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Peguam Negara dan LPJ sehingga terhasil 16 fasal bagi cadangan untuk pindaan,” kata beliau di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Sementara itu, sejak akta itu dikuatkuasakan pada 2014, seramai 3,473 orang sudah ditahan di bawah akta berkenaan.

Daripada jumlah itu, 753 menerima perintah tahanan, 1,768 dibawah pengawasan polis, 577 sudah dibebaskan manakala baki 375 masih dalam pengawasan LPJ.

Dewan tangguh jam 4.05 pagi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.