POLIS BURU PESARA TENTERA LARIKAN RM2.6 JUTA

 

Seorang pesara tentera berpangkat kapten sedang diburu kerana melarikan wang tunai RM2.6 juta di dalam bilik kebal disebuah syarikat kawalan keselamatan di Sungai Dua, Rawang awal pagi semalam.

Suspek Mohd Hafizan A. Aziz, 38, yang merupakan pengurus syarikat kawalan keselamatan di cawangan terbabit serta telah bekerja sejak dua bulan lalu.

Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten komisioner R Supramaniam berkata, semakan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod lampau.

“Polis percaya suspek masih dalam negara dan berharap mereka yang mempunyai maklumat dapat menyalurkan kepada pihak polis,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Selangor di Shah Alam pada Rabu.

Supramaniam berkata, kes di siasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kesalahan melakukan rompakan bersenjata dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Dalam kejadian itu, suspek yang datang ke premis syarikat kawalan keselamatan itu kononnya untuk menumpang tidur, sebelum bertindak melarikan wang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek bertindak mengejutkan tiga pengawal keselamatan yang bertugas untuk memaklumkan pintu besi bilik kebal tidak berkunci.

Suspek kemudian mengacukan senapang di belakang tiga pengawal serta mengurung mereka di dalam sebuah bilik.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.