POLIS LARANG JAMAL JUAL IKAN SABTU INI

 

Polis menasihatkan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunus supaya tidak mencetuskan provokasi dengan menjual ikan ketika himpunan anti-kleptokrasi anjuran Pakatan Harapan (PH) berlangsung pada hujung minggu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu bakal berdepan tindakan perundangan jika terus berdegil.

“Jangan ganggu himpunan, jangan cuba cetuskan keadaan huru-hara.

“Kalau dia buat juga, kita akan lihat apa kesalahan dia di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Noor Rashid berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sistem Self Monitoring Analytics Reporting Technology (SMART) Lokap oleh pihak MIMOS Berhad kepada PDRM di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Jamal sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan menjual ikan seberat 10 tan ketika himpunan ‘Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya pada Sabtu ini.

Sebelum ini, beliau pernah menganjurkan jualan serupa di Pandan, Sekinchan dan Ampang pada harga RM5 sekilogram.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.