POLIS ‘MASUK’ SEKOLAH KEKANG KONGSI GELAP

 

‘Lampu hijau’ untuk polis masuk sekolah apabila Kementerian Pendidikan sedia memberi kebenaran kepada pihak keselamatan itu untuk mengesan pelajar terbabit jenayah kongsi gelap.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihak polis diberi kebenaran untuk masuk ke perkarangan sekolah bagi mengesan mana-mana pelajar yang disahkan terbabit sebarang perlakuan jenayah.

“Ia bukan hanya membabitkan kongsi gelap semata-mata.

“Polis sudah pastinya mempunyai bukti melalui risikan dan apabila mahu melakukan siasatan serta tangkapan, ia dibenarkan melakukannya dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada pengetua sekolah terbabit dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Saya berikan kelonggaran 100 peratus untuk polis masuk ke sekolah untuk laksanakan pencegahan dan tangkapan.

“Pengetua janganlah sembunyikan isu kongsi gelap, sebaliknya berilah kerjasama. Saya yakin pengetua akan membenarkan usaha pencegahan jenayah yang dilakukan polis bagi memastikan tiada warga sekolah terbabit dengan kongsi gelap,” katanya selepas melancarkan Jelajah Iktiraf 2017 peringkat FELDA Lubuk Merbau di PADANG TERAP petang Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataannya bahawa Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi terhadap pelajar yang terbabit dalam kegiatan jenayah kongsi gelap.

Ia susulan laporan 13 pelajar yang ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) kerana menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 24 di Klang, Selangor.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya, pagi Jumaat.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.