POLIS NAFI VIRAL KANAK-KANAK DIBUNUH SECARA KEJAM

 

Polis menafikan berhubung kejadian penculikan dan pembunuhan kejam seorang kanak-kanak yang didakwa berlaku di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata gambar yang tersebar di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp itu menunjukkan seorang kanak-kanak dalam keadaan terbaring dengan kesan kelar di bahagian leher dan jahitan di sepanjang badan.

Katanya, kanak-kanak itu dipercayai meninggal dunia, selain kesemua organ dalaman juga didapati tiada.

“Turut ditularkan ialah gambar dua individu yang masih dikehendaki oleh Polis Johor (wanted person) yang pernah disiarkan kepada media. la (penyebaran) dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khalil berkata, perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dakwaan yang diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.