POLIS SIASAT ZAMIHAN BAWAH AKTA HASUTAN

 

Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 ke atas Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), Zamihan Mat Zin, susulan ceramahnya yang berbaur perkauman di sebuah masjid di Shah Alam, Ahad lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima laporan berhubung perkara berkenaan.

“Kita jalankan siasatan mengikut Akta Hasutan.

“Buat masa ini beliau (Zamihan) belum ditahan dan mengikut prosedur siasatan, kita mungkin memanggilnya untuk dirakam keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Bual Bicara Sarapan Pagi Berkaitan Integriti bertajuk ‘Kelestarian Keamanan Negara – Perspektif Integriti’ di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) Kuala Lumpur, pada Rabu.

Program anjuran Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) itu turut dihadiri Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff selaku moderator program bual bicara.

Dalam ceramah di Shah Alam itu, Zamihan didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menghina Sultan Johor dalam isu ‘dobi untuk orang Islam sahaja’.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.