PPBM AKAN JUMPA ROS

 

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengadakan pertemuan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi meredakan kemelut yang melanda parti itu dan berjanji akan patuh terhadap sebarang keputusan bakal diambil.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pertemuan yang dijangka 30 November nanti, PPBM akan membentangkan semua laporan kepada ROS.

Muhyiddin berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang andaian lagi, sebaliknya akan menunggu keputusan yang akan dibuat oleh ROS selepas pertemuan itu kelak.

“Kita hendak berjumpa ROS…kita akan bincang bersama. Pasal kita nak bentang laporan lengkap supaya ROS dapat tahu kedudukan kita.

“Kita pun tidak boleh salahkan dia (ROS). Mungkin dia tak dapat ‘latest update’ (laporan terkini), jadi kita nak bentang. Jika begini, apa nasihat dia…tak boleh nak andaikan apa yang akan diputuskan, kita tunggulah,” katanya di Muar, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan tertutup dengan pimpinan bahagian PPBM Johor di Pejabat PPBM Bahagian Pagoh di Taman Pagoh Jaya di sini, petang tadi. Yang turut hadir, Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Menyentuh mengenai isu ARMADA, Muhyiddin berkata parti itu hanya menggunakan nama terbabit sahaja tetapi dalam perlembagaan PPBM sudah mempunyai sayap untuk lelaki dan wanita.

“Sayap untuk wanita nama Srikandi, yang lelaki nama dalam perlembagaan (PPBM) ialah Pemuda. Tetapi masa mesyuarat agung khas, Syed Saddique nak ubah kepada ARMADA dan Majlis Kepemimpinan Tertinggi bersetuju supaya pindaan itu dibuat, namun pindaan itu perlu dihantar kepada ROS untuk dapat kelulusan,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.