PPBM ANCAM TINDAKAN DISIPLIN TERHADAP AHLI ‘SABOTAJ’ PARTI

 

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberi amaran kepada mana-mana ahlinya yang cuba mensabotaj parti itu dengan mengkritik kepemimpin secara terbuka dengan niat bagi menjatuhkan imej parti.

Ketua Penerangannya, Datuk Kamarudin Mohd Nor, berkata lembaga disiplin sedang meneliti mana-mana ahli yang disyaki cuba untuk memporak-perandakan PPBM dengan cara mengadakan sidang media bagi memburuk-burukkan parti tersebut.

“Kami sedang menyiasat beberapa anggota parti yang disyaki menyalahgunakan keahlian untuk tujuan mensabotaj parti dari dalam.

“Saya juga nak ingatkan kepada semua ahli supaya mengikut saluran yang betul dalam menyampaikan kritikan. Kalau tidak kita terpaksa ambil tindakan disiplin,” katanya dalam satu sidang akhbar oleh Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Kelantan di Galeri PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya pada Selasa.

Turut hadir pada sidang media itu, Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi PPBM Kelantan, Datuk Sazmi Miah dan Ketua Bahagian PPBM Kubang Kerian, Arifin Osman.

Ancaman tindakan disiplin dibuat setelah parti yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir itu selepas menghadapi beberapa siri konflik dalaman oleh ahli akar umbi seluruh negara atas isu-isu yang berbangkit dalam parti tersebut.

Terbaharu, satu sidang media telah diadakan oleh ahli PPBM Kelantan di Kota Bharu yang mengumumkan hilang percaya kepada parti tersebut berikutan pelbagai isu pengagihan kerusi yang dilihat tidak adil dan menemui jalan buntu di Kelantan.

Ahli parti tersebut turut mengkritik ketidakupayaan pemimpin mereka untuk menyelesaikan masalah secara tuntas selain mengisytiharkan tidak lagi percaya kepada parti itu.

 

Oleh Syakirin Daud

Leave a Reply

Your email address will not be published.