PPBM PARTI LEMAH

 

Kelemahan struktur dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sehingga menyebabkan ia gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) membuktikan PPBM adalah parti yang tidak boleh diharap untuk menubuhkan kerajaan.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, berkata rakyat perlu sedar kemelut dan kelemahan dalaman PPBM yang berterusan selepas setahun ditubuhkan menunjukkan ia parti bermasalah yang tidak layak untuk disokong dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, rakyat tidak seharusnya mempertaruhkan masa depan negara kepada parti yang diketahui bermasalah dan tidak mampu mengatasi kemelut dalaman sendiri.

“Jika struktur dalaman parti lemah dan wujud masalah di sana sini terutama bahagian dan cawangan, sampai tidak mampu buat AGM, mengapa rakyat hendak sokong PPBM lagi?

“Apa yang berlaku pada PPBM ini menunjukkan ia parti yang tidak boleh diharapkan membantu rakyat. Adakah ini parti yang rakyat hendak bergantung harap menjadi kerajaan?” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, pada Jumaat.

Beliau mengulas amaran Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) terhadap PPBM yang berdepan kemungkinan dibubarkan pendaftarannya sekiranya masih gagal menyelesaikan masalah dalaman dan mengadakan AGM yang kini sudah melepasi tempoh sepatutnya pada September lalu.

Petang tadi, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, menjelaskan PPBM melakukan tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti itu.

Tiga kesalahan itu ialah tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

Mengenai isu larangan wanita bertudung bertugas di barisan hadapan hotel, Khairul Azwan berkata Pemuda UMNO menganggapnya sebagai satu pemikiran dangkal dan tidak berpijak kepada realiti mengenai kepelbagaian budaya, agama dan kaum yang wujud di negara ini.

“Justeru, saya cadangkan kerajaan menawarkan insentif tertentu kepada pengusaha hotel bagi menggalakkan mereka tidak bersikap diskriminasi terhadap pekerja,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.