PPBM SEDIA GUNA LOGO SENDIRI

 

PPBM menegaskan bahawa parti itu akan menggunakan logonya sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya Pakatan Harapan (PH) gagal didaftarkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Menurut Ketua Penerangannya Datuk Kamaruddin Mohd Noor, sehingga hari ini pendaftaran PPBM masih sah dan diakui jabatan berkenaan, namun beliau tidak menolak untuk menimbangkan pilihan lain jika pendaftaran parti mereka dibatalkan kelak.

“Sama jugalah, kita (PPBM) akan buat begitu kerana kita ada logo sendiri dan logo kita dah didaftarkan dengan SPR. Jadi kalau tidak ada pilihan yang lebih baik, kita mungkin akan guna logo kita (PPBM).

“Itu satu pilihan, kita juga buka kepada lain-lain pertimbangan tetapi yang utamanya kita masih sah pendaftaran dan boleh bertanding atas tiket Bersatu (PPBM),” katanya seperti dilaporkan Antarapos.

PPBM kini berdepan risiko dibubarkan RoS selepas didapati melanggar tiga perlembagaan partinya sendiri.

Pertama, gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), menggunakan istilah Armada untuk sayap pemuda parti dan menangguhkan AGM tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

PPBM sudah memohon untuk berjumpa RoS bagi mengemukakan cadangan alternatif namun hingga kini belum ada perkembangan berhubung perkara itu.

Merujuk krisis yang dialami PPBM kini, Ketua Whip Parlimen PKR Datuk Johari Abdul memberitahu PH berdepan risiko tidak dapat bertanding di bawah logo gabungan bersama.

Katanya, masalah itu timbul selepas mengambil kira PPBM akan dibatalkan pendaftaran kerana melanggar perlembagaan partinya, sepertimana yang diberitahu RoS.

Selain PPBM, DAP turut membantutkan usaha PH berdaftar di bawah satu logo selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak sah.

Bagaimanapun, DAP sudahpun mengadakan pemilihan semula CEC pada 9 November lalu, namun belum menghantar laporan kepada RoS.

DAP mempunyai masa 60 hari untuk berbuat demikian.

Ujar Johari lagi, jika PH gagal di daftarkan dibawah satu logo terdapat cadangan agar parti komponen PH bertanding di bawah logo tunggal.

Walau bagaimanapun cadangan berkenaan kurang dipersetujui rakan komponen dalam PH, terutama DAP.

DAP berkeras mahu menggunakan logonya sendiri jika PH gagal didaftarkan di bawah satu entiti.

Manakala Amanah pula mahu perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.