PRIHATIN RAKYAT BUKAN KETIKA PRU – ZUL ALI

Foto oleh Hazierra Lukman@watanonline

 

Prihatin terhadap permasalahan rakyat itulah janji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Pasir Puteh, Kelantan Zulkifli Bin Ali yang sentiasa bersikap terbuka dan disegani penduduk.

Beliau yang lebih mesra dipanggil ‘YB Zul Ali’ pada Selasa membuat ziarah ke rumah Naemah Che Ahmad, 50 tahun yang kematian suami di Kampung Bukit Abal.

Ketika dihubungi wartawan Watan Online, Zulkifli menafikan keprihatinan itu hanya berlaku disaat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan tiba kerana khidmat pada rakyat telah bermula sejak diberi mandat oleh rakyat pada PRU13 lagi.

“Saya tidak mula bersama rakyat hanya kerana PRU, malah rakyat juga menerima saya dengan baik sejak diberi mandat menjadi ADUN disini,” jelas beliau.

Naemah yang hanya berniaga Nasi Berlauk dan Nasi Kerabu secara kecil-kecilan di hadapan rumahnya melahirkan rasa syukur atas kunjungan pemimpin itu.

“Tak sangka, YB Zul sudi datang dan memberi bantuan kepada kami sekeluarga. Sedikit sebanyak dapat meringankan urusan untuk mengadakan tahlil buat arwah suami. Terima kasih banyak,” katanya kepada Watan-Online ketika ditemui selepas menerima kunjungan itu.

Zahari Awang, 60, meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman berfungsi dan kerosakkan buah pinggang. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada Sabtu lalu.

Sementara itu Zulkifli memberitahu semenjak diterima rakyat menjadi ADUN Selising beliau telah membuat lawatan sebanyak 3,561 pesakit kronik, 1,269 kematian dan menghadiri pelbagai kenduri sejak 2013 sehingga kini.

Ditanya peluang bertanding semula pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus memberi peluang kepadanya menjadi calon menjelang PRU14.

“Bagi saya, sesiapa sahaja berwibawa untuk menjadi calon. Saya hanya buat kerja saya sejak mendapat mandat dari perdana menteri dan rakyat dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.

Zulkifli juga yakin dengan penerimaan rakyat terhadap dirinya atas sambutan yang baik walaupun berbeza idealogi politik.

“Rakyat memberi sambutan baik dan menggalakkan apabila saya lebih tumpu pada permasalahan masyarakat selain dari membuat pembangunan fizikal.

“Di Selinsing, saya tidak memilih dan letak apa sahaja warna politik mereka sama ada hijau, oren dan sebagainya,” katanya.

 

GALERI AKTIVITI YB ZUL ALI (ADUN SELINSING)

 

  • Photo ehsan YB Zul Ali (ADUN Selinsing) 

 

 

Oleh Hazierra Lukman

Leave a Reply

Your email address will not be published.