PRK SG. KANDIS : UMNO SELANGOR SAMBUT BAIK – MAT NADZARI

 

UMNO Selangor menyambut baik cadangan supaya parti itu menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, ada kewajaran untuk parti menggunakan logo sendiri, terutama bagi menguji tahap sokongan orang Melayu yang mewakili 70 peratus pengundi di kawasan itu.

“Bagaimanapun cadangan menggunakan logo UMNO pada PRK Sungai Kandis tidak pernah dibincangkan di peringkat negeri ataupun bahagian. Cadangan seperti ini adalah kali pertama dan sudah tentu pelbagai pandangan akan diterima.

“Apa pun kita serah kepada UMNO pusat.Segala keputusan terletak kepada kepemimpinan tertinggi parti,” katanya kepada Watan Online pada Khamis.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO perlu bertanding atas nama parti dan bukan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Beliau berkata langkah tersebut mampu menjadi kayu pengukur terhadap penerimaan rakyat di kawasan berkenaan terhadap parti itu sama ada ‘laku’ atau tidak.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.