PRU-14 : JIHAD PERANGAI PEMBANGKANG

 

Pergerakan Pemuda UMNO bersedia melancarkan jihad politik dalam Pilihan Raya Umum ke-14 terhadap golongan pembangkang yang sering melemparkan pelbagai fitnah kepada kepimpinan kerajaan.

Timbalan Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata jentera parti itu di semua peringkat meletakkan komitmen tinggi bagi memerangi golongan yang berniat melaga-lagakan pemimpin negara.

“Pemuda UMNO akan membawa mesej yang jelas untuk memenangi PRU kelak demi memastikan keamanan negara terpelihara daripada cubaan pihak tertentu untuk memecah-belahkan perpaduan.

“Kita lihat, pemimpin pembangkang termasuk bekas pemimpin UMNO membuat tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan, kepimpinan kita serta menanam kebencian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Puteri dan Wanita Bahagian Lumut, Sabtu.

Sementara itu, beliau menyokong kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang menyifatkan tiga ‘B’ – Bohong, Benci dan Balun yang menjadi sentimen pembangkang.

“Mereka bohong kepada rakyat, menanam kebencian dalam hati rakyat kepada pemimpin dan mereka balun sehabis-habisnya.

“Inilah jihad kita. Kita kena menang kali ini,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.