PRU14 : KIT SIANG AKUI PH BERDEPAN LALUAN SUKAR

 

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad yakin mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN), Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui gabungan pembangkang itu sukar memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

Beliau berkata, berdasarkan analisa yang dilakukan banyak pihak membuktikan Pakatan Harapan (PH) masih ketinggalan dan hanya mempunyai 10 peratus peluang.

Bagaimanapun pada masa sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya memerlukan 16.5 peratus undi popular untuk mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN)

“Pembangkang amat sukar untuk menang PRU14 tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Kita hanya mampu menang jika berlaku enam tsunami membabitkan pengundi kawasan bandar, luar bandar, Sabah, Sarawak, wanita dan generasi muda,” katanya di Batu Pahat, pada Ahad.

Pada PRU13, Pakatan Rakyat yang ditunjangi DAP, PKR dan PAS menawan 89 kerusi parlimen berbanding BN yang menangi 133 daripada 222 kerusi.

Ketika itu, BN hanya memperolehi 47.38 peratus, manakala pembangkang dengan 50.87 peratus undi popular.

Walaupun mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan kelantan, Pakatan Rakyat kehilangan Kedah dan Perak yang ditawan pada PRU12.

Sementara itu, Kit Siang mengakui  Prof Dr Abdul Aziz Bari akan menjadi calon DAP bagi kerusi DUN Perak.

Semalam, penyandang DUN Tebing Tinggi, Ong Boon Piow dilaporkan mengumumkan pencalonan Aziz tanpa kebenaran parti dalam satu program di Ipoh.

 

Wartawan Watan-Online