PRU14 : WANITA SEDIA HADAPI CABARAN

 

Pergerakan Wanita UMNO menerusi Jalinan Rakyat Plus (JRPlus) diberi amanah meneraju jentera bersepadu pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14).

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata ia membawa petanda Wanita bukan umpama buih di lautan, sebaliknya bergabung menjadi gelombang yang menggunung dan mengharung fitnah demi negara yang tertegak gagah.

Katanya, harapan disandarkan kepada pihaknya akan dipikul dengan penuh kesungguhan.

“Wanita berikrar, PRU-14 nanti, bersama anak Pemuda, Puteri ganding bersama parti komponen Barisan Nasional dan bergabung (seiring) aspirasi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak).

“Kami akan cari pencari undi, penentu undi, perayu undi, pengekal undi, hatta pemecah undi di mana yang perlu.

“Insya-Allah, selagi kita berdiri atas nawaitu (niat) yang satu, demi agama, bangsa dan negara, UMNO terus kukuh mengemudi pertiwi,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Rabu.

Shahrizat juga berkata, Wanita UMNO akan mempersiapkan diri sepenuhnya dan menyahut cabaran jika diperuntukkan 30 peratus kerusi pada PRU-14.

Katanya, ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 14 atau 6.3 peratus Ahli Parlimen Wanita Barisan Nasional (BN) termasuk lapan Wanita UMNO dan enam parti komponen, iaitu hanya 9.3 peratus Wanita UMNO daripada 86 Ahli Parlimen parti itu.

“Di Dewan Negara, Wanita UMNO ada lapan dan wanita parti komponen ada tiga daripada 63 kerusi. Di Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, kita hanya ada 25 Wanita UMNO dan lima Wanita parti komponen.

“Maka, semasa perasmian (Perhimpunan Agung) Wanita, Pemuda dan Puteri, apabila Datuk Seri Dr Zahid Hamidi (Timbalan Presiden UMNO) kata nak bisik dengan Presiden (Datuk Seri Najib Razak) untuk 30 peratus calon wanita, kami bukan hanya menyambut baik, malah akan mempersiapkan diri untuk menyahut cabaran ini.

“Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.