PUTERI TETAP SETIA WALAU TIDAK MENJADI CALON

 

Puteri UMNO berikrar untuk terus bekerja keras memenangkan Barisan Nasional (BN) walaupun ahlinya tidak dipilih sebagai calon.

Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, turut memberi jaminan tiada ahli yang akan merajuk atau sabotaj parti sekiranya tidak dipilih sebagai calon ketika pilihan raya.

Beliau berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak diminta memilih calon terbaik dalam kalangan yang terbaik calon Puteri demi kemenangan dua pertiga majoriti Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang akan datang.

“YAB Presiden, saya ingin menyatakan di sini, kalau ada antara kami yang tidak dipilih, saya sebagai Ketua Puteri ingin memberi jaminan Puteri tidak akan merajuk, Puteri tidak akan bergasak, Puteri janji tidak tutup bilik gerakan.

“Puteri akan terus bekerja, bekerja dan bekerja. Janji BN menang,” katanya ketika ucapan dasar Ketua Puteri pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Rabu.

Ucapan beliau disambut sorakan dan sokongan 992 perwakilan Puteri yang mengikuti persidangan.

Selain itu, Puteri berikrar memperkukuhkan janji dan walak terhadap pemimpin dan parti UMNO bagi memenangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya yang dianggap ‘ibu segala pilihan raya’.

Mas Ermieyati berkata Puteri tidak mendesak ahlinya dipilih sebagai calon sebaliknya mengharapkan agar pemilihan calon mengambil kira wanita dan orang muda.

“Puteri mengharapkan calon yang dipilih itu nanti mestilah juga menekankan pendekatan WLWC: (Winnable, Likeable, Workable, dan Capable) iaitu boleh menang, disukai pengundi, mampu bekerja dan berkebolehan.

“Untuk calon langsung seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah kaedah yang terbaik. Puteri mengharapkan juga konsensus yang sama dapat dicapai oleh semua parti komponen BN,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.