QOBIN SAH PENDAKI GRAND SLAM KE-60 DUNIA

 

Pendaki negara, Muqharabbin Mokhtaruddin sah diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam ke-60.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles melalui laman sosial Facebooknya, pada Isnin.

“Kami baru sahaja menerima berita mengenai senarai rasmi terkini Penjelajah Grand Slam yang dikeluarkan oleh The Explorer Club pada hari ini.

“Tak sangka Muqharabbin atau Qobin tersenarai di nombor 44 untuk Grand Slam (Last Degree) dan ini bermakna secara keseluruhannya beliau menjadi warga dunia yang ke-60 berjaya bergelar Penjelajah Grand Slam.

“Senarai ini jauh mengatasi sasaran kami iaitu di nombor 70 sebelum ini berikutan Qobin perlu bersaing dengan ramai penjelajah dari negara lain yang cuba melengkapkan misi masing-masing sebelum akhir tahun lalu.

“Ini bermakna Qobin telah berjaya melengkapkan ekspedisinya lebih awal berbanding penjelajah lain yang turut memburu gelaran yang sama,” katanya.

Akmar berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, ada penjelajah yang gagal menyempurnakan ekspedisi terakhir masing-masing untuk melengkapkan kesemua sembilan ekspedisi wajib yang mesti dilakukan sebelum boleh bergelar Penjelajah Grand Slam.

Sembilan ekspedisi wajib itu ialah menawan tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua dan menakluk Kutub Utara serta Kutub Selatan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.