RAFIZI PAKAR EKONOMI TARAF ‘BUDAK SEKOLAH’ – JOHARI

 

Sidang Dewan Rakyat hangat apabila barisan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berang dengan tindakan Ahli Parlimen PKR Pandan Rafizi Ramli yang cuba memutar belitkan perkara berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketika Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggulung Bajet 2018 di peringkat dasar di Dewan Rakyat, petang Isnin Rafizi mencelah dan mendakwa bahawa Johari secara tidak sengaja telah mengaku bahawa GST telah membebankan para perniaga kecil.

“Dalam menjawab soalan daripada Kota Raja ( Ahli Parlimen PAN Dr Siti Mariah Mahmud) dan Kota Tinggi ( Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun N6arrashid) tadi, sebenarnya Menteri telah menjawab GST ini buruk kepada rakyat.

“Kota Raja tanya soalan adakah GST ini menyebabkan syarikat-syarikat kecil tidak boleh bersaing dan gulung tikar. Menteri jawab tidak, sebenarnya kerana kalau mereka syarikat kecil yang RM500,000 ke bawah maka tidak perlu dikenakan GST dan tidak perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kemudiannya bangun Kota Tinggi dan bertanya apakah benar pertambahan jumlah syarikat dengan Kastam dan lain-lain meningkat, Menteri bangun kata ya sebab kalau tak mendaftar orang tak beli dengan dia,” kata Rafizi.

Sejurus itu Dewan Rakyat menjadi gamat. Kedengaran teriakan daripada Ahli Parlimen BN, belit, dia putar belit, Pandan tak sekolah, mengaji tidak habis.

Keadaan terus menjadi hangat dengan perang mulut membabitkan beberapa Ahli Parlimen menyokong kerajaan dengan pembangkang sehingga memaksa Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia campur tangan untuk mententeramkan keadaan.

Menyambung kembali pergulungannya, Johari membidas Rafizi kerana menunjuk sikap yang dangkal sebagai seorang yang dikatakan mahir dalam bidang kewangan.

“Saya nak beritahulah, kalau setakat punya teori ini memang tak boleh pakai. Saya pun peliklah, seorang yang kata pakar ekonomi cakap macam budak sekolah,” bidas Johari.

Tegasnya, Rafizi dan pembangkang cuba mengelirukan dengan tidak membezakan perniagaan yang meraih pendapatan RM500,000 yang diklasifikasikan sebagai perniagaan mikro.

“Pandan dan pembangkang sememangnya tidak faham, syarikat mikro dengan syarikat medium enterprise mereka tak faham dan tak dapat bezakan. RM500,000 kita panggil mikro dan kita tak charge GST. Pembangkang ini tak reti.

“Jadi kalau tak tahu sebab tu bila mereka buat bajet, mereka main tolak sahaja keluar GST, mana boleh cerita macam itu,” bidas Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

Tambah Johari lagi, tindakan pembangkang yang suka memburukkan GST adalah tidak selari dengan kebaikannya yang telah digunapakai oleh kebanyakan negara-negara luar.

“Jadi saya cerita pendeklah, kalau kita ni tak tahu pasal GST, bermakna 174 negara luar pun tak tahu GST.

“Saya nak minta tolong dengan Pandan, tunjukkan pegawai bank dunia dan agensi-agensi kewangan dunia yang mengatakan GST ini salah. Beritahu saya….. Kalau tak ada, jadi usah cerita banyak,” tegas Johari.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.