REMAJA BERAK DI KEDAI DOBI OKU

 

Remaja perempuan yang membuang air besar beberapa kali di depan sebuah kedai dobi di Jalan Manickavasagam, Lobak, di Seremban disahkan orang kurang upaya (OKU).

Kenalan keluarga remaja itu yang enggan dikenali, berkata dia mengenali keluarga berkenaan ketika mereka tinggal di Rasah Jaya, di sini beberapa tahun lalu.

Sebelum ini, katanya, remaja itu mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah rendah di Rasah Jaya dan kini di sekolah menengah di Mambau.

“Ibu remaja itu dipercayai mengalami masalah sama kerana tingkah laku mereka seperti kurang waras, namun perbuatan membuang air besar di tempat awam belum pernah berlaku sebelum ini.

“Saya terkejut apabila berita itu disebarkan di media sosial dan portal berita pada Khamis lalu. Kebanyakan netizen tidak tahu latar belakang mereka,” katanya pada Sabtu.

Beliau berharap ada pihak tampil dan membantu remaja berkenaan serta keluarganya.

Khamis lalu, seorang pemilik kedai dobi terkejut apabila mendapati najis ditemui di atas lantai depan premisnya adalah najis manusia.

Datuk Adzwan Ab Manas menyedari perkara itu selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premisnya pada 18 September, sebelum kejadian sama berulang pada Khamis lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata polis menerima laporan kejadian itu pada Khamis lalu dan menyiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pengarah Pendidikan negeri, Pkharuddin Ghazali, pula berkata pihaknya menyerahkan kes itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya sudah memanggil keluarga remaja berkenaan dan menasihatkan mereka memberi kerjasama sewajarnya kepada polis supaya kes dapat diselesaikan segera.

“Kita juga sudah mengarahkan pihak sekolah supaya memberi lebih perhatian kepada remaja berkenaan supaya dia mampu mengurus diri, terutama di tempat awam,” katanya.

 

Sumber BHOnline

Leave a Reply

Your email address will not be published.