RM5 JUTA PERUNTUKAN KOPERASI SEKOLAH MENENGAH

Foto oleh Muhd Zul Hafiz Bahrin@watanonline

 

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat kejutan apabila mengumumkan peruntukan geran sebanyak RM5 juta secara keseluruhan kepada kira-kira 1000 buah sekolah menengah yang mempunyai koperasi masing-masing.

Menurutnya peruntukan tersebut bertujuan untuk membantu sekolah menengah melaksanakan program berkaitan koperasi selain memberi pengiktirafan terhadap usaha sekolah-sekolah menengah yang terbabit dalam membudayakan aktiviti koperasi.

Beliau turut berharap supaya pihak sekolah mengambil langkah proaktif dalam memajukan koperasi masing-masing.

“Kita tidak boleh terus melaksanakan langkah-langkah yang sama sejak tahun 70-an, kita perlu sedar bahawa kita berada pada era teknologi dan digital.

“Oleh itu kita juga memerlukan satu transformasi dalam memajukan koperasi-koperasi di sekolah masing-masing.

“Jadi saya amat berharap supaya program ini dibuat pada tahun-tahun akan datang supaya kita dapat berkongsi ilmu terkini untuk memajukan koperasi sekolah seperti bagaimana cara mendaftar syarikat koperasi dengan suruhanjaya syarikat Malaysia (SSM) secara online, cara untuk melakukan e-commerce, dan cara untuk mendaftarkan harta intelek,” katanya semasa menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 1000 orang pengetua sekolah menengah seluruh Malaysia bersempena dengan Majlis Seminar Transformasi Koperasi Sekolah di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Turut hadir pada malam itu ialah Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Mahdzir mengucapkan terima kasih dan berbesar hati terhadap keputusan Hamzah dalam membantu kelangsungan koperasi sekolah menengah melalui peruntukan yang diberi.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada menteri KPDNKK kerana telah meluluskan peruntukan geran melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada semua aktiviti-aktiviti pengetua dan guru-guru serta anak-anak pelajar di sekolah dalam koperasi masing-masing,” katanya.

Geran koperasi sekolah menengah yang diperuntukan itu walaubagaimanapun diberikan terhad kepada sekolah menengah yang diwakili oleh pengetua atau wakil pengetua masing-masing dalam program Seminar Transformasi Koperasi Sekolah.

 

Oleh Syakirin Daud

Leave a Reply

Your email address will not be published.