RUMAH SELANGORKU : KEGAGALAN DAN KECELARUAN PENTADBIRAN AZMIN

 

Kenyataan bercanggah melibatkan Menteri Besar Selangor dan EXCO berhubung pembatalan projek Rumah Selangorku menggambarkan kecelaruan pentadbiran kerajaan negeri ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, turut membidas sikap Kerajaan Selangor yang enggan mengakui kelemahan pentadbiran, sekaligus menyebabkan beribu-ribu pembeli berputih mata.

“Saya difahamkan ada pembeli telah membuat pinjaman bank. Sudah tentu ia mengecewakan pembeli rumah ini.

“Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kesilapan pemaju perumahan sebagai punca projek perumahan tersebut dibatalkan.

“Sebaliknya, EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad Samad menjelaskan pembatalannya disebabkan masalah kebenaran merancang.

“Azmin perlu mengakui kesilapan diri. Tidak perlu menuding jari salahkan orang lain,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Tahun Baharu Cina dan Cermin Mata Percuma di Pasir Penambang, Kuala Selangor, pada Isnin.

Noh yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, dasar perumahan di Selangor juga semakin bercelaru sejak ditadbir oleh PKR.

Ujarnya, syarikat milik kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) semakin hilang identiti serta matlamat asal penubuhan.

“Sekarang ini PKNS lebih banyak membina ‘rumah mampu tengok’. Tambahan pula, dasar kerajaan negeri yang mengenakan mengenakan premium tanah tinggi, termasuk melibatkan projek berkepentingan rakyat menyebabkan harga rumah melambung,” ujarnya.

Sebelum ini, Azmin enggan mengakui kesilapan urus tadbirnya sendiri apabila menyalahkan pemaju berhubung keputusan membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku.

Pembatalan berkenaan melibatkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.