RUU355 : HADI DIJANGKA BENTANG HARI INI

 

Rang Undang-Undang (RUU) persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengukuhkan mahkamah syariah akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ia kini disenaraikan nombor satu dalam kertas aturan mesyuarat Parlimen.

Tiada aturan mesyuarat kerajaan disenaraikan di dalam aturan berkenaan pada Khamis.

Malah Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan malam tadi melalui laman sosial Facebooknya turut memaklumkan yang Presiden PAS dijangka akan membentangkannya pada Khamis.

Abdul Hadi dijangka membentangkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 sekitar 12 tengah hari, selepas sesi soal jawab selesai.

Pindaan ini berkaitan had jumlah hukuman yang boleh di jatuhkan di Mahkamah Syariah Negeri yang telah begitu lama tidak dipertingkatkan (iaitu hukuman rotan terhad kepada maksimum enam kali sebatan, denda tidak melabihi RM5,000 dan penjara maksima tiga tahun).

November tahun lalu, Abdul Hadi membentangkan RUU untuk memberi kuasa kepada mahkamah Syariah bagi mengenakan hukuman yang lebih berat tetapi kemudian mencadangkan usul itu dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang di bawah Peraturan Mesyuarat 15 (5).

Rabu minggu lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU berkenaan, selaras dengan amalan membuat keputusan berasaskan konsensus dalam kalangan parti-parti komponen.

Najib berkata, ia kekal sebagai RUU persendirian dan terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk memutuskan sebarang ketetapan berkaitan RUU tersebut di Parlimen.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.