SALLEH : KERAJAAN PUSAT ATAU KERAJAAN PERSEKUTUAN?

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyangkal dakwaan bahawa kerajaan pusat mengawal kuasa semua negeri dalam Malaysia.

Mendedahkan bahawa pengunaan istilah itu tidak betul, beliau menegaskan kerajaan Malaysia dipanggil sebagai kerajaan Persekutuan kerana kerajaan adalah milik semua rakyat dalam negara Persekutuan yang ditubuhkan pada 1963.

“Malaysia adalah sebuah negara persekutuan. Ciri utama negara persekutuan ialah pembahagian kuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan.

“Negara kesatuan pula adalah negara yang diselenggarakan oleh satu kesatuan tunggal, iaitu kerajaan yang mempunyai kuasa tertinggi.

“Wilayah-wilayahnya hanya menjalankan kekuasaan seperti yang dibenarkan oleh kerajaan pusat sahaja dan ini bermakna kerajaan pusat berkuasa untuk meluaskan, menyempitkan atau menghapuskan kuasa kerajaan wilayah,” katanya menerusi blognya.

Salleh berkata ciri utama negara persekutuan ialah demokrasi dan perpaduan dalam kepelbagaian, bukannya sistem kesatuan yang mana semua sumber kuasanya adalah terletak di tangan kerajaan pusat.

Beliau menjelaskan kerajaan pusat hanya sesuai dipanggil untuk negara kesatuan sahaja manakala bagi negara persekutuan, panggilan yang betul ialah kerajaan persekutuan kerana menjadi kerajaan kepada semua wilayah dalam persekutuan.

Menurutnya lagi dalam sistem persekutuan, terdapat bidang-bidang tertentu yang kuasanya berada di tangan wilayah atau negeri.

Sejak pembentukan Malaysia setiap negeri mempunyai kuasa sendiri seperti hal ehwal agama Islam jika mempunyai sultan, tanah, air dan lain-lain.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.