SAMBUNG BELAJAR, TURUN BERAT BADAN DI PENJARA – RAFIZI

 

Kemungkinan besar saya akan buat Sarjana Undang-undang dan cuba kurangkan sikit berat badan, kata Rafizi Ramli yang berhasrat memanfaatkan ‘masa lapangnya’ di penjara kelak.

Ahli Parlimen PKR Pandan itu bakal menjalani hukuman penjara selama 30 bulan sekiranya rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Jun ini.

“Kalau mahkamah menolaknya, saya perlu pergi ke (penjara) untuk tempoh satu tahun setengah,” katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen selepas beliau mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dalam perbahasannya menyokong usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Naib Presiden PKR itu berkata, Perlembagaan sudah jelas menyatakan kelayakan untuk bertanding sebagai calon wakil rakyat akan hilang sekiranya individu itu disabitkan kesalahan denda melebihi RM2,000 atau penjara setahun.

“Memang saya tidak boleh bertanding (calon), daripada dua tahun lalu saya dah tahu tak boleh bertanding. Jadi, keputusan itu sudah dibuat dua tahun lalu,” ujarnya.

Terdahulu, ketika memulakan perbahasannya, Rafizi turut meminta maaf sekiranya kritikan pedas selama lima tahun di Dewan Rakyat melukakan hati pelbagai pihak terutamanya kepada Ahli Parlimen pro kerajaan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang disifatkan sangat terbuka ketika berhujah dengannya.

Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari lalu menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Rafizi dan seorang bekas kerani bank, Johari Mohamad, kerana didapati bersalah membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat pada Mac 2012.

 

Oleh Najamuddin Mohd Nor

Leave a Reply

Your email address will not be published.