‘SAYA TAK BAGI DUIT PADA PAS” – NAJIB

Foto oleh Muhd Zul Hafiz Bahrin@watanonline

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini akhirnya menjawab tuduhan pembangkang yang menuduh PAS menerima duit UMNO sebanyak RM90 juta.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, akhirnya fitnah itu terjawab apabila PAS menyaman editor Sarawak Report yang menyiarkan berita berkenaan dengan berniat jahat.

“Mana ada kita beri RM90 juta kepada PAS. Saya tak bagi duit pada PAS, sebab itu PAS saman Sarawak Report.

“Tapi saya tidak boleh komen banyak sebab masih dalam perbicaraan mahkamah,” kata Perdana Menteri.

Foto oleh Muhd Zul Hafiz Bahrin@watanonline

Beliau berkata demikian kepada pejuang siber UMNO ketika merasmikan Konvensyen Media Sosial UMNO peringkat Kebangsaan di PWTC, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Turut hadir ialah Ketua Biro IT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Selasa lalu, Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown menamakan bekas Pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga sebagai pemberi maklumat terhadap laporan yang mendakwa pemimpin tertinggi PAS menerima wang habuan daripada Perdana Menteri.

Rewcastle-Brown dalam sebahagian daripada pembelaannya terhadap saman oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mendakwa artikel Sarawak Report bertajuk ‘As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connections’ disiarkan menerusi portal itu pada 6 Ogos 2016 adalah bersumberkan Ambiga.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.