SAYA TIDAK TAHU PERKARA DIBANGKITKAN – SHEIKH RAJESH

 

Tiada berlaku pergolakan dan perpecahan dalam kem Barisan Nasional di DUN Pelabuhan Klang setakat ini, tegas Datuk Sheikh Rajesh Sheikh Ahmad.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Klang itu memberi reaksi demikian susulan terdapat pihak tertentu yang meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ketua Bahagian Datuk Nasaruddin M Zain dengan membantah beliau bertanding di DUN Pelabuhan Klang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

“Saya menafikan berlakunya ribut, gelora di sini, tidak seperti digambarkan dan situasi berada dalam keadaan stabil, cumanya kita sedang bersiap siaga menggerakkan jentera kempen kita sebaik sahaja pengumuman calon bertanding oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak

“Sebenarnya saya tidak tahu menahu perkara yang dibangkitkan, saya sebagai Timbalan Ketua Bahagian UMNO menunggu perkembangan seterusnya mungkin dari media atau pun pucuk pimpinan atasan,” katanya kepada Watan-Online pada Isnin.

Rajesh juga melahirkan rasa kesal dengan isu yang dibangkitkan tatkala BN Pelabuhan Klang sedang membuat persiapan rapi menghadapi PRU14.

“Bagi saya perkara ini terlalu awal untuk diwarwarkan, keputusan pemilihan calon masih belum ditetapkan lagi, tetapi di sebaliknya ada suara-suara yang tidak berpuas hati daripada pihak luar dan itu saya tidak dapat kepastian lagi.

“Kita tidak mampu mengawalnya, itu adalah luahan rasa tidak puas hati orang ramai kepada orang yang menawarkan dirinya untuk bertanding, saya tegaskan yang saya tidak tahu menahu dan tidak berada dalam golongan itu,” tegas Rajesh.

Bagaimanapun, Rajesh mengingatkan jentera BN Pelabuhan Klang supaya berlapang dada dan menerima siapa sahaja calon yang dipilih pucuk pimpinan bertanding nanti.

“Siapa pun yang bertanding kita kena akur dan tidak berpecah. Kalau itu lah yang terbaik kita kena terima. Kita kena tunjukkan solidariti kita bahawa kita nak pastikan BN menang dan merampas kembali DUN Pelabuhan Klang daripada pembangkang, itu paling mustahak” katanya.

 

Oleh : NAJAMUDDIN MOHD NOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.