SELANGOR MAIN DI STADIUM SHAH ALAM: KEPUTUSAN BULAN DEPAN – AMIRUDIN

 

Peluang untuk pasukan Selangor kembali menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi akan diketahui selewat-lewatnya awal bulan depan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, ketika ini perbincangan sedang dijalankan melibatkan beberapa pihak dan pihaknya optimis perkara itu akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

“Memang kita cuba memenuhi impian penyokong The Red Giants sejak dua tahun lalu. Sebenarnya perjumpaan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah telah dilakukan sebanyak tiga kali.

“Kita minta penyokong Selangor bersabar, mudah-mudahan akan ada pengumuman positif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di Shah Alam, pada Rabu.

Dalam pada itu, Amirudin mengakui keadaan padang Stadium Shah Alam turut mempengaruhi keputusan sama ada ia boleh dijadikan gelanggang rasmi pasukan Selangor.

“Kemungkinan Stadium Shah Alam akan menjadi gelanggang rasmi pasukan Selangor dan PKNS FC. Memang sebelum ini pun Selangor dan PKNS FC berkongsi gelanggang rasmi.

“Cuba kita kena pastikan padang dalam keadaan elok. Kalau banyak sangat pasukan menggunakan satu gelanggang ia mungkin akan memberikan kesan kepada kualiti padang,” katanya.

Sebelum ini, juara Piala Malaysia 33 kali itu terpaksa ‘menumpang’ di gelanggang lain selepas berdepan kesukaran mendapatkan kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam susulan perselisihan antara badan induk bola sepak negeri itu dengan kerajaan negeri sejak musim lalu.

Selangor kini menumpang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras untuk dijadikan sebagai gelanggang tuan rumah mereka untuk kempen Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, berkongsi dengan skuad warga kota.

Stadium Shah Alam pula menjadi gelanggang tuan rumah PKNS Selangor dan pasukan Liga Perdana, Felcra FC.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.