KPWKM DIDESAK SELESAI KES DERA

 

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) didesak untuk mengambil tindakan efektif bagi menangani kes kematian bayi dan kanak-kanak akibat perbuatan dera.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata KPWKM perlu memberi penekanan dalam menangani kes yang semakin meningkat ini.

“Kita tidak nampak sebarang tindakan jelas dan tegas diambil KPWKM dalam menangani kes-kes sebegini setakat ini walaupun sejak mereka menang pilihan raya beberapa kes sudah dilaporkan.

“Eloklah kerajaan memainkan peranan sebagai kerajaan sekarang, ambil inisiatif segera selesaikanlah segera kes-kes ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Noraini yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong berkata beliau merasa sedih mendengar berita mengenai peningkatan kes-kes kematian bayi dan kanak-kanak akibat menjadi mangsa dera.

“Masalah sosial seperti ini bukan sahaja membimbangkan kalangan ibu bapa malah masyarakat secara keseluruhan dan menjejaskan imej negara di mata negara luar,” katanya.

Kes terbaharu melibatkan kanak-kanak berumur 10 tahun yang meninggal selepas didera ibu kandungnya sendiri di Permatang Badak, Kuantan.

Sebelum itu negara turut digemparkan dengan kejadian mayat bayi berusia lima bulan yang diletakkan di dalam peti sejuk rumah pengasuh di Taman Nakhoda, Batu Caves, Selangor.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.