SIAP SEDIA UMPAMA PRU-14 ESOK

 

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan perwakilan dan ahli parti untuk bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, persiapan mesti dilakukan seumpama PRU-14 akan diadakan esok.

Beliau berkata, perkara itu ditekankan Perdana Menteri dalam sesi taklimat kepada semua perwakilan yang hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2017) yang bermula, pada Selasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Kita tidak perlu tempoh lagi, sekarang ini kita anggap seolah-olah esok pilihanraya.

“Penting untuk meletakkan parti diatas apa juga keadaan sebab kita nak berdepan dengan PRU, bukan sahaja perwakilan dalam dewan itu penting tetapi rakyat diluar sana juga,” katanya selepas selesai mendengar taklimat tertutup Presiden UMNO.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata Presiden mahu semua pihak dalam parti itu memberi fokus 100 peratus kepada persiapan PRU-14 dan bukannya, pemilihan parti.

Beliau berkata, Najib tidak mahu isu dalam membelenggu perjuangan parti bagi menghadapi PRU-14 yang cukup penting bagi kelangsungan Barisan Nasional (BN).

“Presiden amat menekankan soal keutuhan parti, beliau tidak mahu ada isu dalam parti yang akhirnya merugikan UMNO, BN.

“Keutuhan dan perpaduan dalam UMNO adalah kekuatan kepada parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari memberitahu, Najib mahu semua pihak bersatu hati dan memperkemaskan saf perjuangan untuk menghadapi PRU-14.

“Kita harus bersatu hati, persiapkan minda untuk memenangi pertarungan nanti. Ahli UMNO perlu bersatu hati dan selesaikan masalah dalaman dan bersiap sedia untuk menghadapi PRU-14 nanti,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.