SIASATAN PEGAWAI SPRM RASUAH LENGKAP

 

Kertas siasatan berhubung pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa memeras ugut serta meminta sogokan daripada seorang pegawai polis di Pulau Pinang, sudah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya semalam untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan menunggu arahan selanjutnya daripada Timbalan Pendakwa Raya sama ada pegawai berusia 38 tahun berkenaan didakwa di mahkamah atau sebaliknya.

“Berdasarkan siasatan awal, pegawai SPRM itu terbabit  dalam kegiatan pemerasan membabitkan beberapa pegawai polis di negeri itu sejak dua tahun lepas.

“Manakala, pegawai yang bertugas di Unit Risikan Zon Utara SPRM Putrajaya itu tamat reman semalam dan dia sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya di Georgetown, pada Khamis.

Pada Jumaat lalu, pegawai berkenaan ditahan di sebuah restoran di Taman Machang Bubok di negeri itu pada 10.20 malam selepas dipercayai menerima RM3,000 hasil pemerasan daripada pegawai polis dan direman lima hari bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas kad kuasa, beg sandang, dua kelongsong peluru 9mm, telefon bimbit dan sebuah kereta Volkswagen daripada pegawai SPRM itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.