SIDANG KEMUNCAK OIC LUAR BIASA – NAJIB

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, pada Rabu, sangat luar biasa yang menuntut kerjasama negara Islam bagi mempertahankan kota suci Baitulmaqdis.

Beliau berkata, sidang kemuncak ini adalah tepat pada masanya untuk umat Islam menyuarakan pandangan dan pendirian mereka mengenai perkara tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh Najib:

ALHAMDULILLAH, saya telah menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah diadakan semalam pada 13 Disember di Istanbul, Turki.

Persidangan ini diadakan atas permintaan Presiden Turki selaku Pengerusi Sidang Kemuncak OIC ke-13 rentetan pengumuman pentadbiran Amerika Syarikat pada 6 Disember untuk mengiktiraf Jerusalem atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan cadangan untuk memindahkan Kedutaan Besar Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Jerusalem.

Saya berpendapat bahawa penganjuran Sidang Kemuncak ini adalah tepat pada masanya untuk umat Islam menyuarakan pandangan dan pendirian mereka mengenai perkara tersebut.

Sidang Kemuncak ini dihadiri ramai pemimpin negara-negara Islam walaupun telah diadakan dalam tempoh yang agak singkat dan di persidangan ini juga saya telah menyampaikan kenyataan bagi mewakili suara rakyat Malaysia. Antara intipati kenyataan saya adalah seperti berikut:

-Mengutuk dan menolak sekeras-kerasnya keputusan unilateral oleh Amerika Syarikat mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

-Status akhir Al-Quds Al-Sharif patut ditentukan melalui rundingan dua hala di antara Palestin dan Israel melalui kerangka penyelesaian dua negara ataupun two-state solution.

-Keputusan Amerika Syarikat merupakan satu provokasi dan akan menyebabkan kesan keselamatan yang serius ke rantau tersebut.

Dalam hal ini, saya telah menyarankan supaya umat Islam di seluruh dunia perlu bersatu bagi menolak sebarang usaha dan cubaan mana-mana negara mengisytihar atau mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Israel.

Saya turut menegaskan perlunya umat Islam bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memastikan status Al-Quds Al-Sharif hanya melalui rundingan di bawah rangka penyelesaian dua-negara ataupun two-state solution.

Al-Quds Al-Sharif bukan sahaja tempat suci bagi penganut agama Islam, malah merupakan kota suci untuk pelbagai kepercayaan.

Tempat ini perlu dipelihara supaya penganut agama-agama tersebut boleh mengamalkan ajaran masing-masing dengan aman.

Kebuntuan konflik Timur Tengah perlu diselesaikan secara pragmatik berdasarkan undang-undang antarabangsa dan saya telah menegaskan harapan supaya Amerika Syarikat membantu ke arah proses damai melalui, pertamanya, penarikan balik keputusan mengiktiraf Jerusalem, dan keduanya, secara bersama bertanggungjawab dalam membantu keamanan dengan melibatkan kedua-dua negara selaras dengan penyelesaian dua negara ataupun two-state solution.

Ini kerana pada realitinya hanya Amerika Syarikat boleh meyakinkan negara Israel untuk menerima satu bentuk penyelesaian.

Secara umumnya, negara-negara OIC telah menyuarakan pendapat dalam isu ini yang boleh dirumuskan seperti berikut:

i.Mengesahkan bahawa isu Palestin dan Al-Quds Al-Sharif merupakan agenda penting bagi umat Islam.

ii.Memberi sokongan berterusan kepada rakyat Palestin dalam usaha mereka menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan persempadanan sebelum 1967, serta Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Palestin yang berdaulat.

iii.Menolak sekeras-kerasnya pengumuman pentadbiran Amerika Syarikat secara unilateral yang mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Israel, adalah tidak sah dari segi undang-undang dan sejarah.

iv.Menegaskan bahawa keamanan yang akan dicapai oleh penduduk Palestin hanya akan berlaku bila tamatnya penaklukan Israel ke atas wilayah Palestin.

v.Mengiktiraf Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin dan menyeru negara-negara lain untuk mengiktiraf Palestin.

vi.Menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melaksanakan tanggungjawab dengan kadar yang segera dengan menggerakkan resolusi-resolusi yang berkaitan Al-Quds Al-Sharif.

Negara-negara anggota OIC bersedia membawa isu ini ke Perhimpunan Agung PBB jika Majlis Keselamatan PBB gagal untuk bertindak.

Ketika di Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC, saya juga berkesempatan mengetuai delegasi Malaysia untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan Raja Abdullah II, Raja Jordan, serta delegasi Jordan.

Dalam pertemuan tersebut, Baginda telah menyampaikan harapan agar hubungan Malaysia dan Jordan dapat diperkukuhkan lagi, melalui pertemuan-pertemuan dua hala, terutama sekali dalam bidang perdagangan.

Kami juga telah bertukar-tukar pendapat mengenai tindakan unilateral Amerika Syarikat mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu kota Israel dan Raja Abdullah telah menyuarakan kebimbangan Baginda mengenai isu tersebut.

Raja Abdullah turut menegaskan bahawa umat Islam perlu bijak dalam menangani isu ini memandangkan ia boleh disalahtafsir oleh masyarakat antarabangsa dan memburukkan imej umat Islam.

Baginda juga berpendapat bahawa umat Islam sepatutnya sentiasa mencerminkan keinginan untuk mencapai keamanan dan kedamaian, dan penyelesaian melalui rundingan, agar umat Islam tidak dikaitkan dengan, ataupun disalahtafsir, sebagai kumpulan ekstrem atau kumpulan yang menggunakan kekerasan.

Oleh itu, dalam menangani isu Al-Quds Al-Sharif ini, Baginda mengharapkan kebijaksanaan dalam menangani isu ini supaya pada akhirnya umat Islam akan mencapai apa yang dihasratkan oleh mereka.

Semoga Allah SWT melindungi dan memberkati kita umat Islam, menggagalkan cadangan mereka mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan mereka yang menghina dan menekan kita umat Islam.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.