SILAKAN TARIK DIRI – TMJ

 

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak sesetengah pasukan yang mengancam untuk menarik diri susulan dikenakan denda gara-gara lewat menghantar dokumen pendaftaran atau menghantar dokumen yang tidak lengkap musim ini.

Tunku Ismail berkata, sikap negatif sesetengah pasukan itu tampak tidak profesional sekali gus boleh merencatkan usaha badan induk itu untuk meningkatkan lagi kualiti terutama pengurusan bola sepak di negara ini.

Katanya, 10 pasukan yang dikenakan denda itu diberi peluang membuat rayuan dalam tempoh 14 hari dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memberi jaminan akan mempertimbangkan dengan sewajarnya.

“Sekiranya ada pasukan mahu tarik diri, silakan.

“Saya bercakap bukan sahaja atas kapasiti Presiden FAM malah selaku Pengerusi FMLLP. Denda tetap kena denda, malah pasukan yang kena denda ada masa untuk membuat rayuan dan kami akan pertimbangkan.

“Apapun, kami akan mengkaji rayuan dan alasan yang dikemukakan. Tunggu sahaja keputusan kerana denda yang dikenakan mungkin kurang.

“Baru-baru ini saya difahamkan terdapat kes laporan semua sudah lengkap tetapi bendahari tidak hantar. Itu bukan salah saya dan ia menunjukkan betapa kelemahan pengurusan pasukan dan pastinya sukar untuk menguruskan kelab atau persatuan negeri.” kata Tunku Ismail di Iskandar Puteri, pada Sabtu.

Terdahulu, FMLLP mengumumkan 10 pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran dikenakan denda RM1.5 juta untuk pasukan Liga Super, manakala Liga Perdana RM500,000.

Susulan itu, MIFA yang menjadi antara enam pasukan yang dikenakan denda itu mengancam menarik diri kerana beranggapan jumlah itu tidak masuk akal.

Selain MIFA, lima lagi pasukan ialah Kuantan FA, Sarawak, Pulau Pinang, UKM FC dan PDRM. Empat pasukan Liga Super pula ialah Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC.

Justeru, Tunku Ismail menasihatkan semua kelab dan persatuan negeri supaya memantapkan lagi pengurusan masing-masing memandangkan beliau diamanahkan oleh pihak penaja untuk menjaga kepentingan bola sepak negara.

Tambah Tunku Ismail, untuk menjaga kepentingan bola sepak negara, sebarang penajaan harus diberikan kepada kelab dan persatuan negeri yang layak sahaja manakala yang tidak boleh buat kerja dan mengambil sikap sambil lewa harus lebih bersikap profesional.

“Dulu satu sen pun tak dapat… boleh pula hidup. Masing-masing ada kelemahan dan jangan salahkan orang lain. Itu pandangan saya.

“Rabu ini kami akan menyalurkan geran berjumlah RM3 juta kepada setiap pasukan yang bersaing di Liga Super dan RM1 juta kepada pasukan Liga Perdana. Ia satu permulaan dan mungkin akan ada penambahan tidak lama lagi,” kata Tunku Ismail.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.