SIMPANAN TH DIJAMIN KERAJAAN

 

Semua simpanan di Tabung Haji (TH) adalah dijamin kerajaan selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 yang diluluskan di Parlimen, kata Pengerusinya, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.

Sehubungan itu, katanya, adalah mustahil TH akan muflis seperti didakwa pihak pembangkang sehingga menyebabkan ada di antara pendepositnya terpedaya.

Katanya, ada antara pendeposit terpedaya terbabit menutup akaun di TH sehingga menjejaskan peluang mereka menunaikan ibadat haji dan terpaksa menunggu untuk tempoh lebih panjang.

“Saya minta orang ramai jangan percaya dengan tuduhan Tabung Haji hendak muflis kerana ia ditubuhkan mengikut akta Parlimen yang bermaksud setiap sen dijamin 100 peratus kerajaan.

“Jadi mustahil ia akan muflis, bila terbukti Tabung Haji tidak muflis mereka tidak puas hati dan kata pula Malaysia hendak muflis, ” katanya berucap pada Program Ziarah Ramadan Al Mubarak 2017 dianjurkan Yayasan Tabung Haji dengan kerjasama UMNO di Parlimen Paya Besar di Dewan Semai Bakti, FELDA Panching Selatan, pada Ahad.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abd Manan Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar.

Pada majlis itu, 1,500 asnaf dan golongan memerlukan menerima sumbangan sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri minggu hadapan.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, sejak awal Ramadan sehingga kini, 131,000 asnaf dan golongan memerlukan mendapat manfaat daripada program berkenaan menerusi bantuan disalurkan.

“Setakat ini, kita sudah menjelajah ke 49 kawasan Parlimen dan hampir 30 daripadanya adalah dimenangi pembangkang…. ini bukti kita beri sumbangan kepada semua tanpa mengira parti.

“Saya akan meneruskan jelajah ke Sabah pada esok yang meliputi banyak kawasan Parlimen… kita harap dapat selesaikan menjelang Sabtu ini (24 Jun) sehari sebelum Hari Raya,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.