SIRUL : AUSTRALIA BENARKAN PERMOHONAN MALAYSIA

 

Australia meluluskan permohonan kerajaan Malaysia untuk mengekstradisi bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh penterjemah warga Mongolia, Altantuya Shariibuu pada 2006.

Laporan Guardian yang memetik sumber berkata Canberra memberi kebenaran selepas Malaysia setuju membayar kos membawa balik bekas pengawal kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia juga menyebut, Sirul boleh pulang dalam tempoh sebulan, memberikan petanda bahawa kes bunuh Altantuya, yang menggegarkan negara dengan tuduhan hubungan sulit, pembunuhan, rasuah dan urus niaga pembelian senjata meragukan dikaitkan dengan Najib, berkemungkinan dibuka semula memandangkan kerajaan Pakatan Harapan dikatakan giat membongkar salah laku pentadbiran kerajaan terdahulu.

Sirul ialah anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dan berkhidmat dalam menjaga keselamatan Najib.

Altantuya ialah penterjemah yang dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda yang bertanggungjawab dalam pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis untuk Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pada 2009, Sirul dan rakan sepasukan dalam UTK, Azilah Hadri disabitkan bersalah membunuh Altantuya pada 2006, dan dijatuhi hukuman mati.

Mereka kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan kontroversi pada 2013.

Pendakwa merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan Sirul kemudian melarikan diri ke Australia, di mana beliau ditahan di pusat tahanan imigresen Villawood.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan tidak bersalah terhadap kedua-dua tertuduh.

Sebelum ini permohonan Malaysia membawa pulang Sirul ditolak kerana undang-undang negara itu tidak membenarkan seseorang yang berdepan hukuman mati diekstradisi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.