SOLAT HAJAT, BACAAN YASIN DAN DOA SELAMAT UNTUK DYMM AGONG

Yang di-Pertuan Agong Ke 15, Sultan Muhammad V mencemar duli bagi menghadiri majlis solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat bersempena sambutan Hari Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong di Masjid Putra, Putrajaya malam Jumaat.

Turut berangkat Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.

Baginda tiba di Masjid Putra kira-kira jam 7.30 malam sebelum disambut oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib disusuli solat hajat dan bacaan Yasin serta tahlil yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Baginda bersama jemaah lain kemudian menunaikan solat Isyak sebelum berangkat pulang kira-kira jam 9.15 malam.

Kira-kira 2,000 umat Islam hadir bagi menyertai majlis berkenaan.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember tahun lalu.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April ini.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.