SPRM KESAN KELEMAHAN PERUMAHAN BUMIPUTERA JOHOR

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem dan prosedur perumahan Bumiputera Johor, yang dipercayai sehingga berlakunya gejala rasuah dan salah guna kuasa, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata justeru itu, satu kertas cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri minggu depan.

“Sekarang ini, kita di peringkat akhir untuk kemukakan cadangan-cadangan penambahbaikan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil untuk memastikan sistem, prosedur dan kelemahan-kelemahan itu dapat diatasi agar ia tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (BP) Peringkat Negeri Johor yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama sembilan Exco kerajaan negeri di Pejabat Menteri Besar pada Khamis.

Menurut Dzulkifli, jika mengikut Akta SPRM 2009, cadangan yang dikemukakan adalah wajib diguna pakai oleh kerajaan negeri serta agensi-agensinya.

“Cadangan ini merangkumi tindakan yang perlu diambil oleh exco dan melibatkan jawatankuasa yang terlibat dalam isu perumahan.

“Saya berharap cadangan-cadangan ini dapat dilihat juga oleh negeri-negeri lain kerana isu ini kemungkinan akan berlaku di negeri-negeri lain.

“Tambahan, isu rumah Bumiputera juga terpakai di semua negeri, justeru kita mengharapkan negeri-negeri lain melihat dan kaji bagi pastikan perkara sebegini tidak berulang dan menutup segala ruang prosedur dan sistem sedia ada agar tidak dapat dimanipulasikan mengikut kehendak dan kepentingan peribadi,” katanya.

Ditanya sama ada SPRM turut memantau dan membuat pengawasan berhubung isu sama di negeri-negeri lain, Dzulkifli berkata, “kita akan lihat juga.”

“Kita tidak katakan ada siasatan sekarang tetapi kita akan lihat sama ada negeri-negeri lain turut akan memastikan perkara tersebut agar ia tidak berulang,” katanya.

Semalam, exco kerajaan negeri, Datuk Abd Latif Bandi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini bersama seorang perunding hartanah, atas 33 pertuduhan membabitkan rasuah hartanah bernilai RM30.3 juta.

Abd Latif bercuti daripada portfolionya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak 1 Mac lalu susulan siasatan SPRM terhadap skandal rasuah hartanah di Johor.

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.