SPRM PANGGIL SHAFIE JIKA ADA KEPERLUAN

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi saksi termasuk bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam di Sabah.

Perkara itu akan dilakukan SPRM jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata 45 saksi sudah dipanggil memberi keterangan dan sebanyak 70 syarikat dikenal pasti terbabit dalam pelaksanaan projek pembangunan rakyat luar bandar  sehingga menyebabkan ketirisan sebanyak RM1.5 bilion.

“Kita akan panggil sesiapa sahaja yang ada kaitan dan boleh membantu siasatan,” katanya selepas meninjau Projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Intan, Semporna pada Khamis.

Dzukifli berkata demikian ketika ditanya sama ada SPRM akan memanggil Shafie yang kini Presiden Parti Warisan Sabah untuk membantu siasatan.

Tegas beliau, siasatan suruhanjaya bukan tertumpu kepada parti politik tertentu, sebaliknya penyalahgunaan dana awam di negeri itu.

“Bukan asas kita nak buat penahanan hanya pada parti tertentu, ia berdasarkan bukti dan keterangan yang kita perolehi tanpa ada asas lain, tanpa melihat sudut elemen parti politik tertentu,” katanya sambil menambah siasatan akan diperluaskan ke beberapa negeri selepas ini.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.