SULAIMAN HARGAI KEPERCAYAAN PM

 

Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings (FGV), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berjanji akan meningkatkan pentadbiran FGV antaranya menambah baik sektor kewangan syarikat itu yang kini berdepan siasatan salah laku.

“Saya akan bekerjasama dengan lembaga untuk memperbaiki dan meningkatkan tadbir urus lembaga korporat dan syarikat.

“Saya juga akan melihat cara penambahbaikan sektor kewangan,” kata Pengganti Tan Sri Isa Abdul Samad itu kepada sebuah portal atas talian.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepadanya untuk mengurus FGV.

Berhubung pelantikan pengarah baharu bagi menggantikan mereka yang diminta bercuti sementara siasatan dijalankan, katanya ia belum dibincangkan lagi.

“Harus membincangkan perkara itu secara dalaman terlebih dahulu,” katanya seperti dipetik portal berita.

Sulaiman menggantikan Isa yang sudah menjadi pengerusi FGV sejak 1 Januari 2011.

Kedudukan Isa dalam syarikat itu baru-baru ini menjadi fokus susulan pertelagahan terbuka yang menyebabkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad diarah bercuti.

Pada 7 Jun, bekas menteri Datuk Seri Idris Jala dilantik untuk mengetuai siasatan dalaman FGV.

Pada keesokan harinya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil dokumen di ibu pejabat FGV.

Sulaiman merupakan pengerusi bukan eksekutif dalam lembaga Telekom Malaysia Bhd.

Beliau merupakan lulusan ekonomi dari Universiti Malaya dan menerima sarjana dari University of London sebelum dianugerahkan Ph.D di Syracuse University, New York pada 1986.

Beliau berkhidmat di kerajaan selama lebih daripada 38 tahun dalam pelbagai bidang termasuk sebagai ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, setiausaha agung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan setiausaha Kementerian Kewangan.

Beliau juga pernah mempengerusikan Lembaga Pembangunan Pelaburan (Mida) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, di samping menganggotai lembaga Petronas, Felda, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.