SULTAN SELANGOR DUKACITA MELAYU BERPECAH BELAH DISEBABKAN POLITIK

 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita kerana melihatkan rakyat Melayu telah berpecah belah disebabkan pendapat politik yang berlainan.

Berikutan itu, baginda dengan tulus ikhlas berdoa ke hadrat Allah supaya rakyat Melayu Islam dapat bersatu semula demi untuk agama, bangsa dan negara serta mengingatkan semua pihak untuk membuang yang keruh dan ambil yang jernih.

“Beta terbaca wasiat Raja Haji Fi Sabilillah iaitu adik kepada Raja Lumu atau Sultan Salahuddin Shah, Sultan Selangor Pertama. Petikan wasiat itu ialah “bahawasanya memadailah ku katakan apa yang kami inginkan ialah bangsa kita umat Melayu ini hidup bermaruah dan mempunyai kehormatan diri.”

“Di negeri Selangor, rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya. Beta berkenan selepas ini rakyat negeri akan hidup harmoni, bersatu padu, mengamalkan sikap toleransi, hormat menghormati antara satu dengan lain baik dari segi agama dan adat resam supaya negeri Selangor yang kita kasihi ini, aman, dan rakyatnya hidup dengan lebih selesa.

“Rakyat yang berbilang kaum mestilah menanamkan semangat untuk bekerjasama bagi membina negeri Selangor yang di kasihi ini untuk generasi yang akan datang,” titah baginda sempena Majlis Angkat Sumpah EXCO Kerajaan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada Isnin.

Sultan Selangor bertitah, sekarang adalah masanya untuk semua wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat melupakan yang berlaku semasa kempen pilihan raya, dan hendaklah bersatu semula, bekerjasama dan membangunkan negeri ini.

“Beta mahu supaya rakyatnya yang berbilang kaum dapat terus hidup seperti sediakala. Seperti pepatah melayu biduk lalu kiambang bertaut,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengingatkan Exco kerajaan negeri yang dilantik dapat bekerjasama dan menjalankan tugas berpandukan peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

“Semua Exco dan wakil rakyat yang sudah dilantik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu hendaklah bermuafakat dan jujur berbincang bersama Menteri Besar supaya setiap masalah dihadapi rakyat dapat ditangani dengan baik.

“Luahkan pendapat dan pandangan dengan jujur supaya masalah yang dihadapi rakyat dapat ditangani demi kesejahteraan negeri dan rakyat.

“Di kesempatan ini Beta menyatakan bahawa penyebaran berita-berita palsu dan fitnah- menfitnah haruslah dihentikan dengan serta merta supaya perasaan buruk sangka akan dapat dihapuskan.

“Jauhkan diri dari rasuah yang mana gejala ini akan menjatuhkan maruah dan imej seseorang itu, dan juga boleh merosakkan imej negeri Selangor, rakyat juga amat benci dengan pemimpin yang terlibat gejala rasuah,” titah baginda.

Tegas tuanku sultan, rakyat sekarang ini bijak dan pandai menilai akan kehendak serta keperluan mereka dengan dibantu pula dengan media masa dan media elektronik yang canggih.

“Oleh itu ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah berhati-hati dan menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan jangan sesekali memperdayakan rakyat yang telah memilih Yang Berhormat,” titah baginda.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.