SUNGAI BESAR : BIAR PM TENTUKAN – BUDIMAN

 

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang layak bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Budiman berkata, UMNO mempunyai mekanisma tersendiri dalam pemilihan calon bagi kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Siapa yang akan menjadi calon di kawasan Parlimen ini kita serah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak tentukan.

“Namun, saya akan terus menjalankan amanah dan kerja sebagai ahli parlimen sehingga habis penggal,” katanya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang kepada sebuah portal berita.

Pada Sabtu, Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mengumumkan kesediaan beliau untuk memberi laluan ‘permaidani merah’ kepada Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya akan datang.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 2016, Budiman memperoleh 16,800 undi dengan undi majoriti sebanyak 9,191, mengalahkan dua calon lawan iaitu Parti Amanah Negara (PAN), Azhar Abdul Shukur (7,609) dan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman (6,902).

PRK Sungai Besar itu dijalankan pada 18 Jun berikutan kekosongan kerusi selepas penyandangnya Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon maut dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei tahun sama.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.