SUSPEK BUNUH TIGA SEKELUARGA DIKENALPASTI

 

Polis telah mengenalpasti suspek utama yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan kejam tiga beranak di sebuah rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis, Datuk Din Ahmad berkata, suspek Sharat Eh Wang @ Pot, 31 , berasal dari Kampung Jubakar Darat, Tumpat dikatakan bekerja sebagai pemandu kepada pasangan yang dibunuh itu.

Beliau berkata, siasatan pihaknya juga mendapati susupek telah bekerja dengan mangsa sejak empat tahun lalu.

“Maklumat ini kita peroleh hasil daripada temubual dengan anak mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas dipukul dengan tukul di kepala.

“Suspek merupakan pemandu van yang membantu mengedarkan barang perkakasan selain turut mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mangsa.

“Setakat ini, polis percaya kejadian bunuh ini bermotifkan dendam disyaki berkaitan dengan kewangan atau perselisihan faham antara suspek dengan keluarga mangsa sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Semalam, pasangan suami isteri, Kha Eng Ni, 42, dan Chua Joo Seok, 37, ditemukan mati selepas ditikam beberapa kali di dada serta badan dengan pisau dan besi tajam di sebuah rumah di Taman Bahagia, Kota Bharu.

Seorang anak lelaki mangsa yang berumur 13 tahun, Kha Zee Hanz turut maut akibat dihentak dengan di belakang kepala manakala kakaknya, Kha Xing Rhuu, 15, yang turut dipukul cedera parah.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.